Program Keusahawanan Bumiputera (Bahtera) terus dipertingkat dan dipergiat tahun ini selari dengan usaha murni kerajaan untuk memperkasa ekonomi golongan bumiputera di negara ini.
Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, inisiatif Bahtera antara lain sebagai platform terbaik untuk merapatkan jurang maklumat dalam kalangan usahawan.
Beliau berkata, program berkenaan dapat membantu usahawan merangsang perniagaan mereka menerusi maklumat perniagaan pintar dan strategi penjenamaan berkesan yang selari dengan pelaksanaan teknologi.
“Bahtera menyasarkan untuk memperkukuh hubungan usahawan bumiputera dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam aktiviti keusahawanan di negara ini,” katanya selepas melawat kios Laziz Patin di Hentian Rehat dan Rawat Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Temerloh, di sini semalam.
Aminuddin berkata, kios Laziz Patin antara yang menerima bantuan Unik Strategi Nasional untuk membekalkan ikan patin segar dalam sangkar kepada orang ramai.
Katanya, Bahtera mempunyai aspirasi untuk mendapatkan penglibatan usahawan di semua peringkat dan penglibatan komuniti perniagaan usahawan bumiputera.
Usaha berkenaan, katanya, membabitkan sektor usahawan pengeluaran makanan yang menerima pelbagai bantuan dan keistimewaan oleh kerajaan dalam meningkatkan lagi urus niaga mereka.
Menurutnya, bidang keusahawanan banyak diberikan penekanan oleh kerajaan bagi melonjakkan taraf kehidupan rakyat yang semakin ramai terlibat dalam sektor itu.
“Sokongan kerajaan ini memberi kesan positif berdasarkan perkembangan pesat dalam sektor keusahawanan terutama sektor pengeluaran makanan yang semakin bertambah,” katanya.
Sumber : Utusan