fbpx

BAKA PATIN BARU BAKAL DIKAJI

BAKA-IKAN-PATIN-BARU-DIKAJI

Masalah kekurangan bekalan ikan patin sangkar bagi daerah ini mungkin boleh diatasi dengan penghasilan baka baharu patin yang lebih kuat dan cepat membesar.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Temerloh, Saharudin Ahmad berkata, pihaknya bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan kini dalam peringkat awal kajian bagi penghasilan superfish atau baka baharu patin yang lebih lasak itu.

Menurutnya, sekiranya berjaya dilaksanakan nanti, varieti baharu patin sangkar yang diternak akan lebih tahan lasak dan cepat membesar akan menjadi pilihan pengusaha ikan sangkar bagi mengatasi pelbagai masalah dihadapi penternak ketika ini.

“Ada beberapa kajian yang akan kita jalankan bagi menghasilkan baka baru ikan patin yang lebih lasak ini yang mana ketika ini ia masih di peringkat awal namun tidak mustahil boleh direalisasikan.

“Benih patin baru ini akan dikenali sebagai superfish iaitu baka yang lebih lasak, kuat, tahan penyakit, cepat membesar dan mempunyai rasa yang lebih enak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas isu kekurangan bekalan ikan patin yang dipaparkan akhbar ini minggu lalu.

Sebelum ini pengusaha mendakwa bekalan ikan patin sangkar Temerloh berada dalam keadaan kritikal ketika ini dan keadaan itu dijangka lebih buruk bermula Februari tahun hadapan.

Saharudin yang juga pengusaha produk hiliran patin dikenali Laziz Patin berkata, ketika ini bekalan ikan patin sememangnya sukar diperoleh memandangkan kadar kematian yang tinggi bagi setiap sangkar ikan yang diternak.

Beliau berkata, perusahaan ikan sangkar berhadapan pelbagai masalah ketika ini antaranya pengusaha menanggung kos makanan yang tinggi, kadar kematian yang tinggi, risiko ditimpa bencana banjir dan kemarau serta kecurian ikan di sangkar.

“Bagi mengatasi masalah yang dihadapi itu pelbagai perbincangan diadakan antara pengusaha dan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

“Antara langkahnya ialah dengan menghasilkan benih baru patin superfish atau lebih lasak dan lebih cepat membesar.

“Jika kita lihat revolusi pada ternakan ayam yang memerlukan tempoh lama untuk membesar sebelum ini tetapi kini boleh dipasarkan dalam tempoh hanya 40 hari saja, begitu juga dengan ikan patin… kita mahukan sesuatu yang baru,” katanya.

Katanya, MBD bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi penternak ikan patin ketika ini.

Sumber : Sinar Harian

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Replay