fbpx

CADANGAN PLAZA TOL GOMBAK DITUTUP

plaza tol gombak

PLAZA Tol Gombak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dicadang untuk ditutup berikutan kesesakan teruk dialami pengguna khususnya setiap kali musim perayaan dan hujung minggu.

Cadangan itu dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) selepas mengambil kira usia tol berkenaan yang kini sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu.

Abdul Latiff mencadangkan perkara itu pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Perbekalan 2020 Kementerian Kerja Raya, di sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dibuka pada 1977 dan antara lebuh raya bertol yang terawal di Malaysia.

“Saya dapati berlaku kesesakan di lebuh raya ini setiap kali musim perayaan dan cuti hujung minggu terutama di Plaza Tol Gombak.

“Untuk pengetahuan menteri, saya setiap minggu melakukan kajian. Setiap minggu saya berulang alik sudah hampir dua tahun melalui laluan ini.

“Kepayahan dan kesusahan yang di alami oleh rakyat Pantai Timur ini saya rasakan setiap minggu,” katanya.

Abdul Latiff berkata, pada setiap Ahad, beliau perlu bertolak 12 tengah hari untuk sidang Parlimen pada hari Isnin dan jika lewat maka, beliau akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Katanya, ketika musim perayaan Deepavali baru-baru ini, beliau memerlukan hampir dua jam setengah untuk tiba di Kuala Lumpur.

“Setiap hujung minggu khususnya petang Ahad, semua pengguna akan menghadapi tekanan untuk melepasi kesesakan di tol itu, apatah lagi di setiap musim perayaan kerana ia menjadi pintu masuk utama pengguna daripada tiga buah negeri (Kelantan, Terengganu dan Pahang).

“Justeru, satu penyelesaian yang holistik dan segera diperlukan. Saya mencadangkan Plaza Tol Gombak perlu dihapuskan segera selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Seperti yang kita fahami, antara tujuan pembinaan lebuh raya dan tol ialah untuk mempercepatkan perjalanan tapi, jika ia menjadi punca kesesakan ia perlu di hapuskan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata, beliau juga mencadangkan supaya kementerian menaik taraf jalan alternatif Bentong – Gombak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.

“Jalan lama ini perlu di baiki dan dibesarkan selain beberapa laluannya perlukan lampu jalan agar ia boleh di jadikan laluan alternatif terutama setiap kali musim kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak.

“Saya tidak mahu mendengar jawapan YB (Yang Berhormat) Menteri bahawa kementerian akan buat kajian atau sedang buat kajian. Sampai bila nak buat kajian YB Menteri? Kerana setiap kali isu ini dibangkitkan, maka jawapan yang sama akan disebut,” katanya.

Sumber :Hmetro

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Replay