fbpx

TIPS DAN CARA MUDAH BUAT TEMPOYAK DURIAN

TEMPOYAK

Ramai orang menyukai durian dan tak kurang juga sebaliknya. Isi dengan warna kuning keemasan dan rasa lemak manisnya sedap dimakan terus selepas buahnya dikopek. Baunya juga begitu kuat menyusuk hidung.

Namun begitu, bukan semua durian mempunyai isi yang molek. Ia tidak boleh dimakan. Ada juga berlaku situasi lambakan durian dan mungkin saja ada durian yang tidak dapat dihabiskan dalam 1 masa setelah dibeli.

Dengan kebijaksanaan orang dulu, isi-isi durian yang berlebihan telah ditukarkan menjadi satu hidangan yang berfungsi membuka selera si pemakannya. Ia dikenali sebagai tempoyak.

APA ITU TEMPOYAK

Tempoyak ini adalah sejenis makanan yang popular di Malaysia dan Indonesia. Isi-isi durian yang dikumpul dan kemudian diperam selama tiga ke lima hari pada suhu bilik sebelum dimakan.

Penduduk kampung khususnya mereka yang mempunyai kebun durian biasanya membuat tempoyak untuk mengatasi masalah durian banyak.

Tempoyak biasanya tidak dimakan begitu sahaja tetapi dimasukkan ke dalam hidangan sebagai penambah selera dan aroma. Hidangan yang sering menjadi kegemaran ramai adalah ikan patin masak tempoyak cili padi atau sambal tempoyak.

Di Kepulauan Melayu khususnya Malaysia, Borneo dan wilayah Sumatera Selatan, sudah biasa menggelarkan durian peram ini sebagai tempoyak. Di Acheh, ia dikenali sebagai pekasam manakala di wilayah Minangkabau, mereka memanggilnya asam durian.

Sebenarnya menghasilkan tempoyak sendiri tidak sukar. Cuma untuk memastikan tempoyak yang dihasilkan itu sedap, segar dan tahan lama itulah yang sedikit sukar. Namun, jika tahu caranya, tempoyak yang dibuat sendiri jauh lebih enak dan terjamin rasanya.

CARA BUAT TEMPOYAK

Ini cara ibu saya buat tempoyak di rumah.

1. Pilih isi durian yang molek sahaja.
2. Masukkan isi durian itu ke dalam bekas.
3. Gaul rata dengan sedikit garam.
4. Setelah siap, simpan di dalam peti sejuk. Ini proses peram.
5. Sekurang-kurangnya selepas 2 hari, tempoyak sudah boleh dimakan.

Tempoyak yang dihasilkan oleh ibu saya mengikut kaedah ini boleh disimpan sehingga setahun dan saya menyukainya.

Ibu juga menyatakan ada kala isi durian digaul bersama cili padi yang ditumbuk lumat sebelum diperam. Anda boleh tonton video di atas ini.

TIPS BUAT TEMPOYAK

Rakan saya, Hifzaila Hafni pula pernah bertemu dengan seorang pemilik kebun durian yang sering buat tempoyak apabila duriannya berlebihan.

Berikut 9 tip yang dikongsikan olehnya tentang tempoyak yang dibuat sendiri dan yang dijual di pasaran. Rugi kalau tak tahu.

1. Untuk membuat tempoyak, guna isi durian yang masih elok. Elak menggunakan durian yang hampir buruk, busuk atau kurang sedap rasanya. Nanti tempoyak juga akan menjadi kurang sedap.

2. Pilih isi durian yang sedikit lembik. Selalunya jenis durian kampung.

3. Tempoyak asli, hanya isi durian sahaja. Tidak perlu ditambah apa-apa bahan lain seperti garam atau asam. Hanya isi durian sahaja yang diperam.

4. Asingkan isi daripada biji dan kumpulkan dalam penapis untuk keluarkan air durian. Tujuannya untuk tempoyak tahan lebih lama.

5. Isi durian tak perlu dikisar atau dilenyek (sebab durian yang diguna sudah lembik). Kumpulkan, tapis dan masukkan ke dalam balang/bekas.

6. Tempoyak tidak semestinya berwarna kuning. Durian yang berisi lembik ini kadang kala warnanya kuning pucat sahaja tapi rasanya sedap.

7. Hati-hati jika tempoyak mempunyai warna kuning terang, ada kemungkinan dicampur pisang emas. Namun ini hanyalah kemungkinan saja ya, tidak semua penjual melakukan demikian.

8. Tempoyak asli yang tidak dicampur apa-apa bahan akan tahan lebih lama (setahun jika disimpan dalam peti sejuk). Jika tempoyak sudah rosak atau berubah rasa dalam tempoh dua ke tiga bulan, berkemungkinan ia dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Sebaiknya dibuang.

9. Satu lagi cara untuk pastikan tempoyak asli adalah dengan melihat ‘urat-urat’ atau serabut durian pada tempoyak. Ini menandakan isi durian tersebut tidak dikisar atau dicampur dengan bahan-bahan lain untuk ‘nampak banyak’.

Mudah sahaja bukan, untuk hasilkan tempoyak sendiri?

SUMBER : VOCKET

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Replay