fbpx

Sebanyak 16 gerai makan milik Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di Bukit Angin di sini, yang popular dengan hidangan ikan patin musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh, Hashnuddin Hussin, berkata dalam kejadian yang kira-kira jam 6 pagi itu, kesemua 16 kedai makan mengalami kerosakan kira-kira 60 peratus akibat kejadian itu.

“Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan segera bergegas ke tempat kejadian dan tiba pada jam 6.06 minit pagi sebelum berjaya mengawal api dalam tempoh 30 minit,” katanya ketika dihubungi.

Hashnuddin berkata, gerai itu adalah milik MPT dan disewa kebanyakan peniaga yang menjalankan makanan khususnya ikan patin.

“Punca dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya.

Turut kelihatan melawat lokasi kebakaran ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Datuk Nor Azmi Mat Ludin dan Pegawai Daerah, Datuk Azlan Md Yaman.

Sementara itu, seorang mangsa, Wan Sepiah Wan Awang, 53, mendakwa mengalami kerugian sekitar RM15, 000 apabila kebanyakan barangan berniaga tidak dapat diselamatkan.

Katanya, suaminya bergegas ke lokasi jam 6.15 sebaik menerima panggilan daripada orang awam dan hanya berjaya menyelamat sedikit daripada barangan di kedai selepas membuka pintu kedai.

“Ada juga peniaga lagi mengalami kerugian yang lebih besar selepas tidak berjaya membuka pintu kedai dan gagal menyelamatkan sebarang barangan niaga,” katanya

Sumber : BHarian